Tuesday, May 4, 2010

Kenangan Tika Itu...



Assalamualaikum, pembuka bicara.. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda, sekalian sahabat, para tabi’ tabi’in serta sekalian kaum muslimin dan muslimat sekalian, Dan Salam Sejahtera..

Izinku mulakan lentera bicara ini dengan sepotong hadis Rasullullah SAW yang dirakamkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab terulungnya, Ihya Ulumiddin yang bermaksud,

“Manusia paling dekat ke darjat kenabian iaitu ahli ilmu dan ahli jihad. Adapun ahli ilmu maka kerana sesungguhnya mereka sungguh menunjukkan manusia kepada apa yang dibawa para Rasul. Adapun ahli jihad, maka mereka berperang dengan mereka atas apa yang dibawa para rasul.”

Suka untuk penulis memulakan dengan hadis ini kerana hadis ini memberikan suatu motivasi kepada kita selaku penuntut ilmu yang mana sekalian sahabat bertebaran di bumi Allah ini, di dalam mahupun luar negara, di timur mahupun di barat, di IPTA mahupun IPTS dan segenap seantero pelusuk dunia agar kita terus memacu ke jalan perjuangan yang suci ini hanya mengharapkan keredhoan daripada Allah Taala.

Tersenyum penulis melayari laman ini, melihatkan jalinan ukhwah yang terjalin sejak tahun 2006 dapat dirapatkan lagi melalui medium seperti blog dan facebook. Pendekatan ini sememang terbaik dalam kita merapatkan kembali hubungan yang telah lama terpisah. Apa khabar ,sahabat sekalian? Moga selamat di dalam lindungan dan kerahmatan Allah SWT.

Sahabat Muadzam Shah sekalian,

Alhamdulillah, di saat ini, semuanya telah pun begelar mahasiswa. Tidak kira mahasiswa universiti tempatan mahupun universiti antarabangsa, semuanya selamat sampai ke destinasi ini hendaknya. Teringat sewaktu di Muadzam dahulu, semua memasang impian yang menggunung untuk melangkah ke menara gading. Usaha yang tidak kenal perit derita, keazaman yang membara, tawakkal sekhusyuknya, motivasi dari guru sentiasa, semata-mata untuk membawa kita dari demensi kanak-kanak sekolah menengah atas ke alam remaja mahasiswa yang semakin hebat pancarobanya. Alhamdulillah, syukur.. kita telah sampai di sini, walaupun transit yang berbeza.. ada yang berlari di trek pantas, ada yang terbang di serata dunia, ada yang berjalan di matrix, ada yang bermula dengan diploma, dan ada yang kembali ke sekolah untuk stpm. Hakikatnya, semua telah sampai di stesen ini.

Melayari satu laman ke satu laman yang lain, di blog-blog, facebook, myspace, friendster dan sebagainya, rata-rata sahabat sekalian semakin hebat dan matang dalam perjuangan ini. Ramai semakin hebat dan rancak dengan arena pentarbiyyahan di blog-blog dan laman-laman sosial yang lain. Dengan nasihat dan pesanan yang berguna serta info-info dan tips-tips yang berguna dan bermanfaat kepada diri ini akan kehebatan dan kekuasan Yang Maha Esa. Rata-rata boleh penulis mengklasifikasikan sebagai jundi-jundi pembawa syiar Islam. Penulis amat mengagumi sahabat sekalian. Ini membuktikan bahawa acuan yang dibentuk sewaktu di MRSM dahulu, membentuk sahsiah dan peribadi sahabat sekalian dengan acuan Islam yang sebenarnya. Ditambah pula dengan biah Islam yang disemaikan oleh sekalian Ibu Ayah Warden kita yang senantiasa menjaga dan mewaspada setiap pergerakan dan perlakuan anak-anaknya. Nasihat dan teguran jadi pakaian, sebat dan denda sebagai solekan. Solat berjamaah jadi kemestiaan, Al-Quran dan Al-Mathurat rutin harian, Ceramah-ceramah agama tambah keilmuan, kelas al-Quran, tahfiz dan tarannum penguji bacaan, solat hajat dan qiamullail ibadah tambahan, tazkirah dan bayan cipta kepimpinan. Keimanan dan Ketaqwaan sama ditingkatkan. Menjadi bukti dan saksi kuatan kita sehingga hari ini..

Jundi-jundi Islam sekalian,

Penulis amat terhutang budi kepada sekalian tenaga pengajar di MZMS kerana telah mendidik kami sehingga berada di saat ini. Usaha yang tidak kenal letih mengajar dan mendidik kami, merotan dan mendenda kami merupakan asset bernilai yang tidak dapat dilupakan dalam pembentukkan sahsiah insaniah dan rohaniah. Pengorbanan masa bersama keluarga tercinta danpengorbanan wang ringgit untuk nafkah keluarga, namun, segala-galanya, kau kongsikan bersama kami. Walaupun tubuh tuamu disekuat mana, penglihatanmu semakin malap tanpa kaca mata, kesihatan terganggu sekali-sekala, namun kau gagahkan jua mengajar kami semua. Tak terbalas jasamu walaupun tujuh tempayan hati nyamuk, tujuh tempayan air mata gadis sunti dan jambatan emas dan perak dari Muadzam Shah hingga Kuantan kami persembahkan.

Namun seinfiniti kemaafan kerana target GPS bawah 2.0 tidak dapat kami realisasikan. Walaupun hanya itulah ratip kami, setiap pagi sebelum sesi akademik bermula, pembakar semangat itu kami sia-siakan tanpa meyemarakan apinya. Kami tetap leka dengan permainan cinta, kenakalan ‘fly’nya, keseronokan ponteng prepnya, kemeriahan bertumbuknya, kelewatan solat subuhnya, ponteng roll call dan morning callnya, kelaghaan zaman pokemonnya dan bermacam karenah lagi membelunggu fikiran kami. Sebat setiap subuh menjadi ubat, Lari keliling MRSM tanpa baju menjadi hakikat, mengutip semalu di terik matahari menjadi semangat, Jalan itik menjadi tabiat, lompat bintang menjadi penguat, JDM menjadi hangat, JDRM menjadi semakin hebat.. itu semua kita yang buat..

Ikhwan dan Akhowat dikasihi sekalian,


Misi dan agenda kita sangat besar. Kita adalah golongan ilmuwan yang bakal menerajui kepempinan masa hadapan. Kita merupakan asset utama dalam kemajuan sesebuah negara. Sedarsawarsa ini, dunia kita semakin rakus dengan gejala-gejala sosial yang kritikal, seperti buang bayi, penzinaan, ragut, bunuh, rompak, dan sebagainya, membelunggu masyarakat kita hari ini. Menyedari hakikat itu, kita selaku umat yang terpilih ini dengan kekuatan ilmu yang ada dan menjadi inspirasi sekalian masyarakat, menjalankan usaha-usaha melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran yang berlaku dewasa ini. Menjadi tanggungjawab kita menjalankan usaha-usaha dakwah agar agenda tarbiyyah dapat dilakukan. Pelaksanaan usrah-usrah kelompok, kem motivasi, seminar atau ceramah adalah sebahagian contoh usaha-usaha yang boleh kita lakukan. Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran ayat 104,

Kamu adalah sebahagian umat terbaik daripada sebilangan manusia untuk menyuruh yang makruf(kebaikan), mencegah yang mungkar(kemungkaran) dan beriman kepada Allah.”

Kita mempunyai potensi besar yang tidak boleh dipersiakan. Jangan kita menodai kebolehan dan ilmu yang kita ada. Semuanya bakal menjadi golongan professional suatu masa kelak. Doktor, Jurutera, Akauntan, Sainstis, Geologist, Warga Pendidik, Pakar Ekonomi, Arkitek, Ahli Politik, Pengurus Syarikat, CEO, dan lain-lain pekerjaan, merupakan cita-cita dan impian kita. Namun, golongan professional sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan jentera dakwah bagi membantu golongan ulama dalam perjuangan dakwah ini. Justeru, sedarlah kita bahawa hidup kita ini, kita sentiasa berhutang dengan Allah SWT. Setiap nafas yang kita sedut, Setiap makanan yang kita makan, Setiap kepandaian yang diberikan, Setiap kekuatan yang dipinjamkan, Setiap nikmat pancaindera dan segala-galanya, kita berhutang dengan Allah Taala. Gunakanlah dengan sebaiknya. Dan sentiasa mensyukurinya.. Wallahualam..

Kalam bicara buat sahabat-sahabat MRSM Muadzam Shah….

*penulis merupakan mahasiswa UM, berakidah Ahlus Sunnah Waljamaah Al-Assyaari wal Maturidiyyah.. Penyokong Chelsea dan Barcelona.. maen Facebook tu dah jadi hobi(cam ne lah bleh jadi hobi??)

No comments:

How To Update This Blog

kpd semua sahabat2, sesiapa yang nak update blog ni anda teramat sangat dialu alukan. tapi, untuk update, kena ade id n password kn??
so, blh mntak ngan syafiq joe/zainal/yard/or sape2 saje yang mengetahui.
sekian, terima kasih..