Saturday, May 1, 2010

Semuanya sudah bergelar MAHASISWA..



Sedarsawarsa, dunia semakin menggorak langkah maju bagi mengharungi arus globalisasi yang sarat dengan tribulasi ini. Oleh itu, tahap mentaliti masyarakat khususnya mahasiswa perlu seiring dan sejalan dengan perkembangan ini. Peranan mahasiswa selaku pendokong kemajuan dan pembangunan sesebuah negara seharusnya diambil perhatian. Persediaan dari segi mental, fizikal dan rohani perlu dikemaskini agar mahasiswa tidak terpesong dari matlamat sebenar bergelar sebagai mahasiswa. Oleh itu, mahasiswa terutamanya mahasiswa tahun pertama perlu peka dan sentiasa bersedia sebelum menerima amanah selaku pewaris legasi kehebatan mahasiswa terdahulu.

Ikhlaskan niat sebelum bersedia untuk menjadi mahasiswa. Ini kerana, niat merupakan rangka utama dalam penghasilan matlamat bergelar mahasiswa. Hadis pertama dalam Hadis 40 menyatakan, setiap amalan itu bermula dengan niat. Justeru, tetapkan niat kita berada di lapangan ilmu ini. Niat yang disemai, perlulah disirami dengan perasan ikhlas dan tenang. Hal ini kerana, ikhlas dapat menegah dari sikap keterpaksaan dalam melakukan sesuatu perkara. Ketenangan pula membantu mencapai matlamat dengan tertib dan teratur. Sebagai seorang Muslim, niat yang dipasang perlulah ikhlas kerana Allah Taala. Niat yang ikhlas kerana Allah Taala dapatdimanipulasikan sebagai ibadah. Oleh yang demikian, keteberlangsungan ini dalam membantu kita dalam menjadi seorang mahasiswa yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Seterusnya, mental atau pemikiran kita perlu dikemaskini. Ruang lingkup pemikiran seorang mahasiswa adalah luas dan global. Berbeza sewaktu di sekolah, tahap pemikiran hanya melingkupi situasi persekitaran sahaja. Pengetahuan yang menyeluruh mengenai isu-isu semasa dan masalah global perlu diambil cakna. Pengetahuan mahasiswa boleh ditingkatkan melalui pembacaan, seminar, kursus atau aktiviti-aktiviti persatuan. Selain itu, mahasiswa juga boleh berdiskusi atau berdialog sesama masyarakat atau sahabat handai. Oleh yang demikian, tahap pemikiran mahasiswa akan matang dan professional. Justeru, penghasilan mahasiswa minda kelas pertama dapta diperkembangankan.

Melalui pembacaan juga, mahasiswa akan lebih yakin dan berani dalam mengutarakan sebarang pendapat atau pandangan. Hal ini kerana, mahasiswa yang berilmu dan berpengetahuan di sesuatu aspek akan menjadi sumber untuk merujuk atau memberi pandangan dalam sesuatu aspek melalui kaca mata mahasiswa. Contohnya, mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), mahasiswa telah bangkit untuk menjadi panelis dalam satu rancangan diskusi di kaca televisyen. Hal ini membuktikan bahawa pandangan dan pendapat mahasiswa merupakan wadah dalam pembangunan dan pemodenan sesuatu negara. Selain itu, mahasiswa juga diberi hak mutlak bersuara, selari dengan prinsip negara kita sebagai negara demokrasi. Jadi, sebagai mahasiswa, peluang yang diberikan seharusnya digunakan dengan sebaiknya.

Nilai yang paling penting dalam diri seorang mahasiswa adalah nilai agama dan kerohanian. Hal ini kerana nilai ini adalah perisai atau pelindung bagi kita daripada melakukan perkara-perkara yang sumbang. Selain itu, sahsiah dan disiplin dalam diri dapat dibentuk. Nilai-nilai positif dalam dipertonjolkan dan digarap dalam diri mahasiswa. Hal ini kerana, kebanyakkan mahasiswa telah terpesong daripada matlamat atau tujuan yang sebenar mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Kebanyakkan mahasiswa leka dipermainkan dengan permainan dunia yang dicipta oleh mereka sendiri , sebagai contoh, percintaan, permusuhan, pergaulan bebas dan hiburan melampau. Mahasiswa perlu sedar bahawa universiti bukan tempat untuk menabur bibit cinta, menyemai kasih, menyiram sayang, membaca asmara dan menuai hasil. Namun bencana ini sebenarnya melanda jiwa dan sanubari mahasiswa sekalian. Mudah terpengaruh, suka mengikut runtunan hawa nafsu, dan syaitan, penasihat utama, menjadi punca bala ini berlaku membabi-buta. Buktinya, menurut satu kajian telah dijalankan di sebuah universiti tempatan mengenai pernahkah mereka melakukan hubungan seks. 350 orang mahasiswi telah terpilih menjadi responden. Apa yang menyedihkan hanya seorang menyatakan “TIDAK”. Nah! Inilah realiti.

Pengaruh budaya Hendonisme atau budaya hiburan melampau juga membelenggu minda mahasiswa. Sememangnya lumrah bagi manusia untuk berhibur. Namun, hiburan yang dipilih perlulah berlandaskan syarak. Tetapi, dek kerana pengaruh ini, menyebabkan mahasiswa hanyut dengan hedonisme ini. Mahasiswa dihidangkan dengan irama muzik yang rancak, disajikan pula sajian tarian yang menghairahkan hawa nafsu, dijamu dengan hiruk pikuk pergaulan yang bebas. Konsert-konsert yang melalaikan sentiasa penuh melambai ombak. Kelab-kelab malam meriah dengan suara-suara menyilai gembira. Suaru? Masjid? Kuliah Agama? Mana pergi semua manusia? Hanya sepi menanti kelam-kabut di kala matahari terbit dari barat.

Mahasiswa generasi pelapis barisan kepimpinan sekarang. Mahasiswa adalah sayap kiri pembangunan dan perjuangan negara. Nilai kepimpinan haruslah diasah sebelum mahasiswa layak untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab ini. Mahasiswa perlu mengambil peluang dan kesempatan berada di universiti untuk mengasah nilai ini melalui aktiviti-aktiviti persatuan atau kelab. Beraneka jenis kelab dan persatuan yang bersedia untuk melatih mahasiswa. Pilihlah mengikut kemampuan dan keimanan. Aktiviti bepersatuan memberikan impak positif dalam pembentukan nilan insan atau pembangunan modal insan ini secara total. Hal ini dapat dibuktikan melalui aktiviti-aktiviti bepersatuan, mahasiswa dapat melatih kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi, kemahiran bekerja dalam kumpulan, kemahiran bersosial, kemahiran berucap,dan kemahiran berorganisasi, kemahiran pengurusan dan kemahiran kepimpinan. Selain itu, mahasiswa dapat berinteraksi dengan mahasiswa lain serta dapat mengeratkan hubungan silaturrahim yang terjalin. Hubungan dengan masyarakat sekeliling dapat dieratkan. Oleh yang demikian, segala kemahiran yang diperolehi daripada aktiviti-aktiviti bepersatuan dapat diaplikasi dan dipraktikkan.

Mahasiswa juga perlu berani untuk berubah. Perubahan itu perlu untuk memajukan diri kita walaupun berubah merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Punca utama takut kepada perubahan adalah kritikan dan komen rakan-rakan yang rapat dan mengenali diri kita. Hal ini akan menyebabkan hilang semangat untuk berubah. Perubahan mengambil masa yang lama. Jika, berubah dalam masa singkat, perubahan itu hanya sementara. Namun, perubahan perlulah daripada negatif kepada positif, bukan sebaliknya. “Jika seseorang itu lebih baik daripada semalam, maka dia adalah orang yang beruntung, jika seseorang itu sama seperti semalam, maka dia adalah orang yang rugi, namun jika seseorang itu lebih buruk daripada semalam, maka dia adalah orang yang celaka”. Oleh yang demikian, perubahan itu penting untuk maju dan dihormati.

Selepas mahasiswa telah melakukan perubahan positif dalam sahsiah diri, mahasiswa perlu bergerak sebagai agen perubahan bagi keadaan sekeliling. Hal ini kerana, mahasiswa adalahj agen perubahan yang paling efektif dalam melakukan perubahan. Perubahan dari segi politik, pembangunan, pendidikan, pentadbiran dan perundangan dalam dilestarikan oleh golongan mahasiswa. Oleh itu, masalah rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, dan pencabulan hak asasi manusia dapat dihapuskan. Hal ini kerana, agen perubahan ini diibaratkan sebagai agen perubah yang telah dicanting dengan corak yang cantik dan indah. Justeru, segala daki-daki dan keladak-keladak hitam yang melekat pada kain buruk yang kotor dibuang ke dalam tong sampah. Kata-kata daripada Perdana Menteri kita,“ Kita perlu berubah sebelum kita rebah”, membawa maksud yang begitu mendalam dan bermakna.

Justifikasinya, ayuhlah mahasiswa sekalian! Bersedia sebelum sampai waktunya... Kita bersedia bermula di saat ini..


*penulis merupakan mahasiswa jurusan geologi gunaan, jabatan geologi, universiti malaya. bekas pelajar MZMS kelas 505,405, 407..

1 comment:

nurdiyana said...

macam tau je sape...

How To Update This Blog

kpd semua sahabat2, sesiapa yang nak update blog ni anda teramat sangat dialu alukan. tapi, untuk update, kena ade id n password kn??
so, blh mntak ngan syafiq joe/zainal/yard/or sape2 saje yang mengetahui.
sekian, terima kasih..